Saturday, 18 May 2019

BMP3093 APLIKASI KOMPUTER DALAM BM (KAEDAH PENULISAN KARANGAN FAKTA)



   TAJUK: KAEDAH PENULISAN KARANGAN FAKTA

SUBMENU: KAEDAH PENULISAN ISI, BAHASA DAN PENGOLAHAN

NAMA: LEZIO BIN JULIUS

NO. MATRIK: D20171077718

NAMA PENSYARAH: DR. NUR FARAHKHANNA BINTI MOHD RUSLI


1. KAEDAH PENULISAN ISI

Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.

Karangan juga sama seperti manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan.

Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan.

PENDAHULUAN 

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya. Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Lihat contoh pendahuluan di bawah:

    (1) Sejak kebelakangan ini, kes buli di sekolah semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. (2) Banyak kes yang telah dilaporkan setiap hari yang mengundang permasalahan kepada pihak sekolh. (3) Kes ini bukan sekolah sahaja yang mendapat impak negatif tetapi guru juga menjadi habuan kepada ibu bapa pelajar. (4) Masalah buli ini akan terus berleluasa jika kurangnya peranan daripada semua pihak. (5) Masalah ini juga mungkin akan berlarutan apabila terdapat pihak yang hanya tahu menunding jari dan mempersalahkan pihak lain. Oleh itu, terdapat beberapa punca berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar.

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "punca berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar".
 

PERENGGAN ISI 
  • Selepas pendahuluan, pelajar-pelajar perlu menulis perenggan isi pula. Biasanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan ketiga, dan seterusnya.
  •  Dari segi isi, pelajar-pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan. Walaubagaimanapun, pelajar-pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian. Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandung empat ayat hingga enam ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini
          a. ayat judul
          b. ayat huraian 

          c. ayat bukti/contoh
          d. ayat penegas


Ayat Judul
1. Ayat yang mengandung kata kunci jawaban yang menjawab pokok persoalan karangan.
2. Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah, atau di hujung sesuatu perenggan.

Ayat Huraian
1. Ayat huraian pula huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukan yang bertujuan untuk
memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.
2. Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.

Ayat Bukti/Ayat Contoh
1. Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandung bukti atau contoh yang
    berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.
2. Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang
    sengaja diada-adakan.

Ayat Penegas
1. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
2. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “ Tegasnya”, “Oleh itu”, dan
   “Sehubungan dengan itu”.

PERENGGAN PENUTUP

Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, menyatakan cadangan dan membuat ramalan. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
 
KAEDAH PENGOLAHAN KARANGAN

Kaedah ini pula meminta pelajar untuk mengetahui cara mengolah karangan atau dalam kata lain cara mengembangkan isi karangan berdasarkan tajuk yang dipilih. Oleh itu, untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses berikut perlu diikuti oleh pelajar.
 1. Membaca semua soalan
  • Pelajar diminta untuk membaca terlebih dahulu soalan yang diberi dan cuba untuk memahami kehendak soalan.
2. Membuat pemilihan dan perancangan
  • Selepas itu, pelajar membuat pemilihan soalan dan membina rangka jawapan terlebih dahulu sebelum menulis karangan penuh. Rangka jawapan ini sangat membantu pelajar untuk menulis karangan dan  perlulah ditulis dalam bentuk point sahaja atau mengikut kesesuaian.

3. Menulis karangan
  • Seterusnya, pelajar diminta untuk menulis karangan mengikut kaedah penulisan isi iaitu terdapat pendahuluan, isi dan penutup. 
4. Membuat semakan
  • Setelah selesai menulis karangan, pelajar wajib membuat semakan terhadap karangan yang dibuat untuk mengenalpasti kesalahan-kesalahan kecil tatabahasa seperti ejaan, susunan ayat dan sebagainya. 
😀😀😀Nota; Kaedah penulisan isi dan kaedah pengolahan karangan ini bersesuaian dengan mana-mana jenis karangan dan juga boleh digunakan dalam penulisan karangan fakta



 

Video kaedah penulisan isi dan pengolahan karangan


KAEDAH PENULISAN BAHASA

Aspek bahasa dalam sesebuah karangan sangat penting. Penggunaan bahasa yang betul mempengaruhi jumlah markah yang akan diperoleh. Oleh itu, terdapat beberapa aspek penggunaan bahasa yang perlu dipatuhi oleh pelajar.

1. Pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai
  • Ayat yang pelbagai jenis dan struktur
  • mematuhi hukum D-M
 2. Pengunaan perkataan yang pelbagai
  • Elak menggunakan perkataan yang sama dan berulang
  • Elak daripada menggunakan perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima
3. Susunan ayat yang kemas
  •  Ayat mesti teratur dan boleh difahami
  • Gunakan rangkai kata atau ungkapan yang menarik
4. Penggunaan tanda baca pada tempat yang betul
  • Misalnya, tanda sempang (-), tanda koma (,), tanda noktah (.)
  • Tanda baca tersebut perlu digunakan pada tempat yang betul dan sesuai.
 5. Penggunaan imbuhan yang betul
  • Contohnya, imbuhan an dan kan
  • Imbuhan perlu digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan
6. Ejaan yang betul.
  • Ejaan juga mempengaruhi markah karangan pelajar.
  • Ejaan mestilah betul, dan elakkan daripada menulis huruf yang mengelirukan.
  • Pelajar perlu cermat dalam penulisan

Video kaedah penggunaan bahasa dalam karangan
CONTOH PENULISAN KARANGAN FAKTA 
             
 KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN KEPADA MASYARAKAT
           
           Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

     
Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
            
           Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
        
         Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan. 
          
           Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

           
Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
         
       Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

 KESIMPULAN

Menulis karangan sama halnya dengan kegiatan lain yang bukanlah sesuatu kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikannya iaitu dengan cara rajin menulis karangan.

PENGHARGAAN 

Blog ini merupakan salah satu tugasan bagi mata pelajaran BMP3093 Aplikasi Komputer Dalam Bahasa Melayu. Setulus penghargaan kepada pensyarah pembimbing bagi mata pelajaran ini iaitu Dr. Nur Farahkhanna Binti Mohd Rusli kerana telah memberi bimbingan sepanjang menjadi pensyarah bagi mata pelajaran ini. Ribuan terima kasih juga ditujukkan kepada rakan sekelas iaitu kumpulan D atas perkongsian idea dan maklumat baik secara langsung mahupun tidak langsung. Diharapkan agar blog ini dapat membantu pembaca untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan penulisan karangan fakta. 

RUJUKAN 

Thursday, 28 March 2019

Peribahasa: Marahkan Nyamuk, Kelambu dibakar














MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

 PERIBAHASA

  • Menurut za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Maksud peribahasa 'Marahkan nyamuk, kelambu dibakar'
  • Tindakan terburu-buru yang hanya merugikan diri sendiri
  • Membuat masalah yang lebih besar hanya disebabkan perkara remeh
  • Perkara kecil diperbesar-besarkan.

Maksud 'Kelambu'
  • Kelambu merupakan sebuah tirai nipis, yang boleh ditembusi, dengan jaring-jaring yang dapat menahan berbagai serangga seperti nyamuk yang menggigit dan menganggu orang yang menggunakannya.


Penerangan lanjut maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Peribahasa ini cukup popular, bagi menggambarkan keadaan apabila disebabkan timbul suatu masalah kecil, kita mengambil tindakan drastik yang terburu-buru, sehingga menyebabkan kerugian kepada diri kita sendiri.


Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung menggunakan kelambu apabila tidur malam bagi mengelakkan daripada gangguan nyamuk. Lebih-lebih lagi apabila rumah itu terletak di tepi paya atau belukar, memang gangguan nyamuk ini terlalu merimaskan.

Mungkin situasi dalam peribahasa ini berlaku apabila individu yang terlalu marah akan nyamuk yang tidak henti-henti menggigit walaupun telah dipasang kelambu, lantas membakar kelambu dengan harapan bahawa nyamuk tersebut akan terbakar atau nyamuk tersebut lari dan tidak menggigit lagi.

Kiasan di sebalik peribahasa ini memang tajam terhadap seseorang yang cepat hilang pertimbangan apabila menghadapi sesuatu masalah. Apabila keadaan terdesak, kewarasan fikirannya menjadi buntu. Perhitungan yang diambil menjadi terburu-buru sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja tindakan tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu merugikan diri dan keluarganya.

Oleh itu, peribahasa ini mengajar kita untuk bertindak secara rasional dan bukannya mengikut emosi kita semata-mata. Hal ini kerana, bertindak melalui emosi tidak menyelesaikan masalah yang kita hadapi tetapi memberi kesan sebaliknya iaitu merugikan diri kita sendiri. Tegasnya, maksud disebalik peribahasa ini cukup tersirat dan sebab itulah, peribahasa ini mengajar kita agar berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan.


Berikut merupakan beberapa soalan objektif dan subjektif mengenai peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Soalan objektif

1. Antara yang berikut, yang manakah BUKAN maksud sebenar peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Tindakan drastik yang merugikan diri-sendiri.
B. Membuat masalah yang besar disebabkan oleh perkara remeh
C. Bertindak secara rasional dalam menghadapi masalah
D. Perkara kecil yang diberbesar-besarkan

2. Situasi berikut menunjukkan maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Cikgu Hazwan merotan Hazeriq yang dituduh mencuri kuih di kantin sekolah tanpa usul 
      periksa.
B. Emak tidak memarahi adik yang tidak sengaja memecahkan pasu bunga kesayangannya.
C. Cynthia memaafkan rakannya yang lewat mengembalikan jam tangan yang dipinjam.
D. Abang menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan tenang.

3. Apakah kesan negatif yang diterima oleh seseorang apabila mempunyai sikap sama seperti peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Masalah cepat diselesaikan
B. Merugikan diri sendiri dan keluarga
C. Tindakan yang dilakukan bersifat rasional
D. Dipandang baik oleh masyarakat

4. Mengapakah seseorang perlu bertindak secara rasional dan bukannya bertindak secara emosi sama seperti peribahasa marahkan nyamuk. kelambu dibakar?

A. Supaya lebih ramai orang yang membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
B. Supaya masyarakat memandang tinggi kepada kita
C. Supaya setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara yang baik tanpa 
     merugikan diri sendiri, keluarga dan orang lain.
D. Supaya setiap masalah kecil menjadi masalah yang lebih besar.

5. Apakah nilai UTAMA yang boleh dipelajari melalui peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Nilai bertanggungjawab
B. Nilai Toleransi
C. Nilai hormat-menghormati
D. Nilai rasional


Soalan subjektif

1. Senaraikan 3 peribahasa lain yang sama maksud dengan peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

a.)_____________________________________

b.)_____________________________________

c.)______________________________________


2. Bina dua ayat yang berbeza situasi berdasarkan maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

 a.)__________________________________________________

 b.)__________________________________________________


3. Berikan dua sebab, mengapa seseorang itu perlu mengelakkan daripada bertindak mengikut emosi yang sama dengan peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

a.)___________________________________________________

b.)___________________________________________________


4. Peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar mengajar kita tentang nilai rasional. Mengapakah nilai rasional sangat penting dalam kehidupan kita?

  __________________________________________________________________