Thursday, 28 March 2019

Peribahasa: Marahkan Nyamuk, Kelambu dibakar














MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

 PERIBAHASA

  • Menurut za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Maksud peribahasa 'Marahkan nyamuk, kelambu dibakar'
  • Tindakan terburu-buru yang hanya merugikan diri sendiri
  • Membuat masalah yang lebih besar hanya disebabkan perkara remeh
  • Perkara kecil diperbesar-besarkan.

Maksud 'Kelambu'
  • Kelambu merupakan sebuah tirai nipis, yang boleh ditembusi, dengan jaring-jaring yang dapat menahan berbagai serangga seperti nyamuk yang menggigit dan menganggu orang yang menggunakannya.


Penerangan lanjut maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Peribahasa ini cukup popular, bagi menggambarkan keadaan apabila disebabkan timbul suatu masalah kecil, kita mengambil tindakan drastik yang terburu-buru, sehingga menyebabkan kerugian kepada diri kita sendiri.


Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung menggunakan kelambu apabila tidur malam bagi mengelakkan daripada gangguan nyamuk. Lebih-lebih lagi apabila rumah itu terletak di tepi paya atau belukar, memang gangguan nyamuk ini terlalu merimaskan.

Mungkin situasi dalam peribahasa ini berlaku apabila individu yang terlalu marah akan nyamuk yang tidak henti-henti menggigit walaupun telah dipasang kelambu, lantas membakar kelambu dengan harapan bahawa nyamuk tersebut akan terbakar atau nyamuk tersebut lari dan tidak menggigit lagi.

Kiasan di sebalik peribahasa ini memang tajam terhadap seseorang yang cepat hilang pertimbangan apabila menghadapi sesuatu masalah. Apabila keadaan terdesak, kewarasan fikirannya menjadi buntu. Perhitungan yang diambil menjadi terburu-buru sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja tindakan tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu merugikan diri dan keluarganya.

Oleh itu, peribahasa ini mengajar kita untuk bertindak secara rasional dan bukannya mengikut emosi kita semata-mata. Hal ini kerana, bertindak melalui emosi tidak menyelesaikan masalah yang kita hadapi tetapi memberi kesan sebaliknya iaitu merugikan diri kita sendiri. Tegasnya, maksud disebalik peribahasa ini cukup tersirat dan sebab itulah, peribahasa ini mengajar kita agar berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan.


Berikut merupakan beberapa soalan objektif dan subjektif mengenai peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Soalan objektif

1. Antara yang berikut, yang manakah BUKAN maksud sebenar peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Tindakan drastik yang merugikan diri-sendiri.
B. Membuat masalah yang besar disebabkan oleh perkara remeh
C. Bertindak secara rasional dalam menghadapi masalah
D. Perkara kecil yang diberbesar-besarkan

2. Situasi berikut menunjukkan maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Cikgu Hazwan merotan Hazeriq yang dituduh mencuri kuih di kantin sekolah tanpa usul 
      periksa.
B. Emak tidak memarahi adik yang tidak sengaja memecahkan pasu bunga kesayangannya.
C. Cynthia memaafkan rakannya yang lewat mengembalikan jam tangan yang dipinjam.
D. Abang menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan tenang.

3. Apakah kesan negatif yang diterima oleh seseorang apabila mempunyai sikap sama seperti peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Masalah cepat diselesaikan
B. Merugikan diri sendiri dan keluarga
C. Tindakan yang dilakukan bersifat rasional
D. Dipandang baik oleh masyarakat

4. Mengapakah seseorang perlu bertindak secara rasional dan bukannya bertindak secara emosi sama seperti peribahasa marahkan nyamuk. kelambu dibakar?

A. Supaya lebih ramai orang yang membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
B. Supaya masyarakat memandang tinggi kepada kita
C. Supaya setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara yang baik tanpa 
     merugikan diri sendiri, keluarga dan orang lain.
D. Supaya setiap masalah kecil menjadi masalah yang lebih besar.

5. Apakah nilai UTAMA yang boleh dipelajari melalui peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

A. Nilai bertanggungjawab
B. Nilai Toleransi
C. Nilai hormat-menghormati
D. Nilai rasional


Soalan subjektif

1. Senaraikan 3 peribahasa lain yang sama maksud dengan peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

a.)_____________________________________

b.)_____________________________________

c.)______________________________________


2. Bina dua ayat yang berbeza situasi berdasarkan maksud peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

 a.)__________________________________________________

 b.)__________________________________________________


3. Berikan dua sebab, mengapa seseorang itu perlu mengelakkan daripada bertindak mengikut emosi yang sama dengan peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

a.)___________________________________________________

b.)___________________________________________________


4. Peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar mengajar kita tentang nilai rasional. Mengapakah nilai rasional sangat penting dalam kehidupan kita?

  __________________________________________________________________